Seleweng diesel bersubsidi: Pengarah syarikat, dua pekerja dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

Seleweng diesel bersubsidi: Pengarah syarikat, dua pekerja dihadap ke mahkamah

NAZRULKAMAL Mohamad (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menjalankan urusan minyak diesel secara borong tanpa lesen di sebuah jeti di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson pada 10 November lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengarah syarikat bersama dua individu lain termasuk seorang warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan berkaitan urus niaga borong minyak diesel tanpa lesen pada 10 November lalu.

Mereka iaitu Pengarah syarikat KIJ Global, Sdn. Bhd., Nazrulkamal Mohamad, 41, dan dua individu pekerja kapal tangki iaitu, Wong Chew Yuan, 61, warga Indonesia, Warsito, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, Chew Yuan dan Warsito secara bersama lebih kurang pukul 9 pagi telah didapati telah ada dalam kawalan iaitu barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 36,654 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di Jeti Aquatred & Services Sdn. Bhd., PT4209, Bengkel Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson.

Sementara itu, Nazrulkamal sebagai pengarah syarikat bersama dua lagi yang masih bebas turut dituduh menurut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan yang sama serta pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd. Sanusi manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM15,000 kepada Chew Yuan dan Warsito dengan seorang penjamin manakala sebanyak RM25,000 kepada Nazrulkamal.

Dalam pada itu, syarikat KIJ Global, Sdn. Bhd. turut dituduh di bawah Seksyen 22(2) akta yang sama di atas kesalahan yang sama di mana boleh dihukum denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta.

Meor Sulaiman kemudian menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selasa lalu, media melaporkan, kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan sebuah kapal tangki berjaya ditumpaskan dengan rampasan 38,200 liter minyak tersebut dianggarkan bernilai RM82,130 di sebuah jeti persendirian di Pasir Panjang di Port Dickson.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan Op Tiris itu telah dijalankan oleh Pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar / Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman sebelum diserahkan kepada pasukan penguat kuasa KPDN Port Dickson.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, didapati sedang berlakunya aktiviti pemindahan minyak diesel yang disyaki bersubsidi dari lori tangki ke atas kapal yang berada di jeti dalam kawasan premis tersebut. 

Pemeriksaan menyeluruh oleh pasukan serbuan ke atas kapal mendapati terdapat empat orang pekerja yang kemudiannya mengaku sebagai pekerja berada di atas kapal tersebut.

Muhammad Zahir menambah, lapan orang iaitu tiga lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga asing yang merupakan pekerja di atas kapal, pemandu lori dan pekerja di jeti tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN