KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberikan imbuhan ataupun saguhati kepada pemberi maklumat berhubung penyelewengan bahan api diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG) dan lain-lain barangan bersubsidi dan barang kawalan.
Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pada ketika ini, isu berhubung ketirisan dan penyelewengan barangan bersubsidi serta kawalan begitu berleluasa seolah-olah tiada penyelesaian.
Jadi beliau berkata, imbuhan tersebut bagi memberikan suntikan semangat kepada orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kerajaan.
“Seperti sedia maklum, berlaku kerugian jutaan ringgit ke atas ketirisan barangan bersubsidi. Walaupun pihak penguatkuasa berjuang habis-habisan membanterasnya, masih berlaku ketirisan dan penyelewengan.
“Jadi YPNM berpandangan, sampai masanya kerajaan memperkenalkan imbuhan saguhati kepada pemberi maklumat dan Akta Kawalan Bekalan 1961 perlu di tambah baik supaya dimasukkan berhubung peruntukan untuk pemberi maklumat,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN