KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan amalan seksual menjadi cara jangkitan baharu HIV di negeri melibatkan golongan lelaki dan wanita.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kebiasaan jangkitan itu menular menerusi perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih.
“Purata umur individu yang terlibat dengan kes baharu HIV menerusi amalan seksual ini berusia sekitar 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Kesedaran HIV/AIDS Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, pihaknya mengadakan latihan dibawah program sihat tanpa AIDS untuk remaja (Prostar) 2.0 yang memberikan fokus pendidikan kesihatan HIV melibatkan 19 modul latihan.
Katanya, pendidikan kesihatan awal penyakit HIV penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terutama golongan remaja dalam pencegahan dan rawatan penyakit itu di hospital.
Dr. Zaini berkata, sehingga Minggu Epidemiologi ke-43 86 peratus mereka
yang hidup dengan HIV menerima rawatan ubat anti retroviral (ARV).
Katanya, usaha itu masih perlu ditingkatkan sehingga mencapai sasaran 95 peratus pada tahun ini.-UTUSAN