TAMPIN: Pasukan hoki Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (SKTBT) merangkul Piala Milo Nestle selepas muncul juara Kejohanan Hoki Jemputan Bawah 12 Tahun di sini semalam.
Pasukan itu menewaskan Sekolah Kebangsaan St. Paul (SKSP) dari Seremban, 1-0, melalui pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan pada masa perlawanan sebenar.
Dalam kejohanan itu, Muhammad Akid Dani Mukhzani dari SKTBT telah menerima anugerah penjaring terbanyak manakala pemain dari Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Alif Aiman Mohd. Raba’ain diumumkan sebagai penjaga gol terbaik.
Pemain terbaik kejohanan pula diraih oleh Muhammad Farish Mohd. Zaidi dari SKSP dan pemain harapan telah dimenangi oleh Muhammad Dhiayulislam Mohd. Azly dari SKTBT.
Pasukan SKTBT membawa pulang piala manakala setiap pemain dalam kejohanan itu menerima pingat.
Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) negeri, Datuk Sabuddin Sani; Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan, Tamil Selvan dan Pengurus Pemasaran Sukan Unit Perniagaan Milo, Lim Kerwin.
Sebanyak 11 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (SMKTBT) di padang hoki SMKTBT.
Pasukan bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan yang meraih mata terbanyak dalam saingan peringkat kumpulan bersaing untuk separuh akhir.-UTUSAN.