PETALING JAYA: Kegagalan skuad hoki lelaki negara pada temasya Sukan Asia Hangzhou di China bulan lalu perlu dibayar dengan harga mahal apabila mereka digugurkan daripada Program Road To Gold (RTG).
Selain skuad hoki lelaki negara, turut disingkirkan daripada program tersebut ialah dua pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai.
Penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pasukan hoki disingkirkan daripada RTG selepas mereka gagal memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou yang merupakan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun katanya, peluang Speedy Tigers untuk kembali tersenarai dalam program RTG masih terbuka sekiranya anak-anak buah A. Arul Selvaraj itu berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris menerusi aksi kelayakan.
“Prestasi di Sukan Asia Hangzhou menyaksikan kedudukan pasukan hoki negara jatuh dari tangga kesembilan ke tangga ke-12 dunia. Mereka masih berpeluang tersenarai ke RTG jika layak ke Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akbar pengumuman khas Jawatankuasa RTG yang turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Mengulas mengenai penyingkiran dua pasangan beregu campuran negara, Stuart berkata, kedua-dua pasangan itu digugurkan daripada program RTG selepas prestasi yang tidak menyakinkan sepanjang tahun ini.
“Prestasi merudum Kian Meng-Pei Jing menyaksikan kedudukan mereka jatuh ke tangga 23 senarai kelayakan Olimpik dan Soon Huat- Shevon pula mereka jatuh ke kedudukan ke-17 pada kelayakan yang sama,
“Sekiranya kembali ke ranking tertinggi dan tersenarai dalam 16 teratas ‘race to Paris’, jawatankuasa RTG akan menyemak semula mengenai kemasukan mereka. Ini kerana, perkiraan kemasukan atlet badminton berbeza dengan sukan lain,” katanya.
Sementara itu katanya, jawatankuasa RTG juga bersetuju untuk menyenaraikan atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan ke dalam program berkenaan berdasarkan permintaan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
“Aniq ialah atlet terbaru yang dimasukkan ke dalam program RTG untuk Sukan Olimpik Paris. Aniq kini berada di kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik (kategori 61 kg) yang merupakan sebahagian daripada kriteria RTG dan dia berusia 21 tahun pada masa ini.
“Dengan sokongan yang betul, Aniq mempunyai potensi besar untuk meningkatkan prestasi Personal Best iaitu 291 kg kurang 3 kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294 kg,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, skuad hoki yang digugurkan bukan bermakna mereka hilang segala keistimewaan dan sokongan kerana sukan berkenaan masih berada di bawah Program Podium dan menerima manfaat tertentu.
“Bagi Atlet bernaung bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sejak RTG diperkenalkan mereka mempamerkan peningkatan dan kedudukan ranking mereka naik ke tahap yang lebih baik seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah,” katanya. – UTUSAN