Ringgit menyusut bukan gambaran ekonomi Malaysia terjejas – Anwar

Ringgit menyusut bukan gambaran  ekonomi Malaysia terjejas – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit sedang dialami Malaysia tidak harus dijadikan pengukur kepada kedudukan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyusutan tersebut  juga tidak menggambarkan asas ekonomi negara sedang terjejas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kejatuhan ringgit sebahagian besarnya didorong perkembangan global yang dipengaruhi pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.

“Keadaan sama turut dialami mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China, dan peso Filipina yang turut menyusut berbanding dolar AS tahun ini.

“Walaupun nilai mata wang ringgit menurun berbanding dolar AS, namun ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik yang mampan.

“Pertumbuhan terus diterajui perbelanjaan sektor swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam. 

TERBUKA

Anwar berkata, sebagai negara perdagangan dan ekonomi yang terbuka, ringgit akan dipengaruhi oleh faktor global.

Katanya, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting mengurangkan impak kejutan luaran terhadap aktiviti ekonomi domestik dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu. 

Jelasnya, pemulihan kestabilan pasaran dunia, penambahbaikan sentimen pelabur dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang dipengaruhi oleh kegiatan teras ekonomi negara dijangka dapat memperkukuh nilai ringgit.

Sehubungan itu, katanya, langkah jangka masa pendek yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan tertumpu kepada usaha memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

“BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur,” katanya.

Katanya, nilai ringgit boleh diperkukuh melalui pelaksanaan polisi struktur yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara, bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang berkualiti.

“Langkah ini termasuk usaha bagi mentransformasi ekonomi negara yang dipandu oleh Kerangka Ekonomi Madani menerusi dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) .

“Selain itu, pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti negara serta komitmen kerajaan terhadap pengukuhan kemampanan fiskal menerusi pembentangan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka membantu mengukuhkan nilai ringgit,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya