Representasi kes penyelewengan minyak masak anak bekas menteri ditolak - Utusan Malaysia

Representasi kes penyelewengan minyak masak anak bekas menteri ditolak

MUHAMMAD Faisal Hamzah (tengah) hadir pada prosiding keputusan representasi pertuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili anak seorang bekas menteri bagi menggugurkan pertuduhan penyelewengan berkaitan minyak masak bersubsidi, tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Nor Alimah Mohd. Sanusi memaklumkan keputusan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Mazni Nawi pada sebutan kes hari ini.

Nor Alimah memaklumkan hanya menerima representasi daripada anak bekas menteri, Muhammad Faisal Hamzah, 39, manakala seorang lagi tertuduh, Azizul Abdul Halim, 55, yang berdepan pertuduhan sama masih belum mengemukakannya.

Terdahulu, peguam Nasuha Badruldin dan Indran Kumaraguru yang mewakili Muhammad Faisal berkata, pihaknya telah menghantar representasi kepada AGC berhubung pertuduhan berkaitan pada 28 Jun lalu.

Mendengar keputusan itu, pihak pembelaan termasuk peguam Hasnan Hamzah yang mewakili Azizul memohon supaya mahkamah menetapkan terus tarikh perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selama 10 hari iaitu pada 5 Jun, 3 Julai, 10 Julai, 17 Julai, 24 Julai, 31 Julai, 7 Ogos, 14 Ogos, 21 Ogos dan 28 Ogos 2024 yang mana seramai 15 saksi kemungkinan akan dipanggil.

Sebelum ini media melaporkan, pada 5 April lalu kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual memberikan maklumat palsu kepada KPDN semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen/Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di pejabat KPDN, Seremban 2, pada 12 Ogos 2022.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (2) akta sama.

Tertuduh juga selaku pemegang lesen borong juga didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn. Bhd. di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di sini, pada 11 Ogos 2022.

Oleh itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN