TANAH MERAH: Seorang remaja ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa memancing di Sungai Kampung Alor Tapah, Bukit Gading di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkait dengan kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 12.45 tengah hari.
“Sejurus menerima maklumat, Ketua Polis Balai Bukit Panau bersama anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan dan temu bual dengan saksi, remaja itu terjatuh semasa memancing di atas jambatan Sungai Kampung Alor Tapah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, semasa kejadian saksi telah memanggil mangsa, namun remaja itu telah tenggelam ke dalam sungai.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa melakukan aktiviti semasa musim tengkujuh bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini,” ujarnya.-UTUSAN