Ranking universiti masih relevan untuk UUM - Utusan Malaysia

Ranking universiti masih relevan untuk UUM

MOHD. Foad Sakdan (tengah) dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung 19 hingga 23 November ini di Sintok, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penarafan universiti antarabangsa masih relevan untuk Universiti Utara Malaysia (UUM) terutama sebagai indikator kepada pelajar antarabangsa di seluruh dunia membuat pilihan bagi menyambung pengajian.

 Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, terdapat negara luar yang menjadikan QS World University Rankings itu sebagai penanda aras penting untuk menghantar pelajar mereka ke negara ini.

 “Contoh, kalau kita lihat kemasukan pelajar antarabangsa dari Indonesia, Iran, Iraq dan Asia Barat mereka melihat kedudukan ranking itu sebelum  hantar pelajar mereka.  Indonesia misalannya melihat universiti yang berada ranking teratas akan galakan pelajar untuk hadir di universiti itu.

 “Di situ secara tidak langsung ada implikasi misalnya jika kita ranking di bawah mungkin pelajar tidak akan hadir di universiti itu. Begitu juga, di Iran, Arab Saudi dan Libya yang kita adakan perbincangan baru-baru ini juga mereka melihat dari segi ranking,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang akan berlangsung 19 hingga 23 November ini di Sintok di sini hari ini.

 Beliau mengulas mengenai laporan berita muka hadapan akhbar ini hari ini berkaitan saranan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak bahawa semua universiti tidak boleh terlalu taksub dengan sistem ranking yang dianggap tidak relevan lagi.

INDIKATOR

 Mengulas lanjut kata Dr. Mohd. Foad, dalam kalangan pelajar tempatan pula ranking tersebut turut dijadikan indikator untuk memudahkan mereka memperoleh pekerjaan setelah menamatkan pengajian. 

 “Dari segi pelajar tempatan mungkin mereka melihat ranking sebagai indikator sedikit sebanyak memudahkan dan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan satu kebanggaan diri mereka sendiri,” katanya.

 Jelas beliau, dalam jangkamasa panjang sistem ranking antabangsa itu boleh diketepikan dengan pengukuhan sistem ranking tempatan seperti Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) dan Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA).

 “Kalau kita lihat perkara ini sudah lama menjadi perdebatan sama ada universiti perlu terlibat dalam sistem ranking atau tidak.  Perkara ini pada pandangan UUM sendiri adalah secara tidak langsung memberi kelebihan dan ada yang mungkin perkara lain perlu dipertimbangkan.

 “Apa pun dari segi melihat di negara kita sendiri sebenarnya sudah ada dua standard yang diguna pakai iaitu MyRA dan Setara makna kalau kita boleh memperkukuhkan kedua standard tadi dari segi jangka masa panjang kita tidak perlu bergantung lagi kepada QS atau Asia Ranking. Itu adalah alternatif terbaik,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya