SETIU: Sebahagian besar daripada 14,000 lelaki Terengganu yang menghidap diabetes dikesan mengalami masalah mati pucuk.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata, diabetes atau kencing manis merupakan antara faktor yang mengganggu aktiviti seksual seorang lelaki.
Beliau berkata, ramai lelaki yang menderita masalah itu tidak melakukan saringan awal sehingga tidak menyedari menghidap diabetes sehinggalah berlaku komplikasi termasuk mati pucuk.
“Hasil penyelidikan kita mendapati sebahagian daripada 14,000 lelaki yang menerima rawatan diabetes di klinik kesihatan di negeri ini menghidap mati pucuk.
“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil inisiatif membuka unit khas perkhidmatan kesihatan lelaki bagi merawat masalah terbabit terutama dalam kalangan pesakit diabetes,” katanya pada sambutan Hari Kesihatan Lelaki di Sungai Tarom di sini hari ini.
Kasemani berkata, setakat ini, unit khas perkhidmatan kesihatan lelaki itu telah ditawarkan di lapan klinik kesihatan terpilih di semua daerah Terengganu sejak bulan Julai lalu.
Tambah beliau, lelaki yang dirujuk di klinik kesihatan berkenaan kerana masalah mati pucuk terbabit akan menerima rawatan daripada pakar sakit tuan.
Kasemani menambah, Kementerian Kesihatan juga turut membangunkan pelan tindakan kesihatan lelaki dengan memberi fokus kepada enam bahagian.
Katanya, antaranya fokus tersebut adalah kemalangan dan trauma, kesihatan mental, bengkak kelenjar prostat, kanser prostat, mati pucuk serta risiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti diabetes, hypertensi, obesiti dan hyperkolesterolemia.
Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai agar membuat saringan kesihatan bagi mengesan awal penyakit dan segera mendapatkan rawatan untuk mengelakkan komplikasi. – UTUSAN