Projek PPR Rembau bakal siap hujung tahun depan - Utusan Malaysia

Projek PPR Rembau bakal siap hujung tahun depan

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau yang telah diluluskan pembinaannya pada tahun 2016 namun telah dikategorikan sebagai projek sakit, dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek yang melibatkan pembinaan  452 unit rumah teres satu tingkat itu kini sudah dianggarkan siap sebanyak 91 peratus.

Jelas beliau, perkembangan itu selepas kontraktor asal bagi projek berkenaan ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2019 sebelum digantikan dengan kontraktor penyelamat pada tahun 2020.

“Projek ini sangat mencabar, sepatutnya siap tahun lepas (September 2022). Berdasarkan perbincangan tadi, projek ini mampu disiapkan dalam tempoh 10 hingga 12 bulan lagi.

“Cabaran yang ada di sini membabitkan agensi utiliti dan pentadbiran. Kalau daripada segi rumah hampir siap. 

“Selepas projek ini selesai, kelulusan Kabinet iaitu meminda projek kepada skim sewa untuk beli (rent to own) akan berlaku,” katanya kepada selepas melakukan lawatan kerja ke projek perumahan berkenaan hari ini.

Sementara itu, Akmal Nasrullah pada lawatan itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada pihak Majlis Daerah Rembau yang melibatkan projek pencahayaan dan lampu jalan solar diod pancaran cahaya (LED). 

Menurutnya, sehingga kini, MDR telah menerima peruntukan sebanyak RM3.05 juta meliputi RM2.15 juta bagi peruntukan Bahagian Pembangunan 1 (BP1) iaitu projek-projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), RM400,000 bagi menaik taraf tiga projek sistem perparitan dan longkang dan RM500,000 bagi pembinaan baharu 25 unit MyKiosk. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya