KUALA TERENGGANU: Calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dijangka diumumkan pada 16 November depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis pengumuman calon tersebut mungkin diadakan di Chukai, Kemaman.
Menurutnya, buat masa ini, PN masih belum memuktamadkan calon untuk menggalas tanggungjawab dalam PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
“Saya percaya mungkin dalam beberapa hari akan datang akan ada mesyuarat kepimpinan untuk buat keputusan (calon) setelah meneliti kajian-kajian yang dibuat selama ini.
“Saya difahamkan, cadangan tarikhnya (pengumuman calon) ialah pada 16 November depan… pun begitu kita tunggu pengumuman rasmi dari Setiausaha Agung (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) atau kepimpinan Pas negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini hari ini.
Ditanya sama ada nama beliau adalah calon yang bakal bertanding di PRK Parlimen Kemaman pula, Ahmad Samsuri mengambil pendekatan untuk terus mengunci mulut.
“Mana saya tahu sebab Pas tak mesyuarat lagi,” jawabnya ringkas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, calon Pas yang bertanding atas tiket PN, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias memperoleh 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN