PKR Kelantan, 12 NGO serah memorandum bantah pengubahsuaian KSAS

PKR Kelantan, 12 NGO serah memorandum bantah pengubahsuaian KSAS

SYED Mohd. Alidustur Syed Mohd. Zain (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan negeri, Imran Mansor di perkarangan Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: PKR Kelantan bersama 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Kelantan bagi membantah cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.

Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Syed Mohd. Alidustur Syed Mohd. Zain kepada Ketua Penolong Setiausaha Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan Imran Mansor di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Syed Mohd. Alidustur berkata, pihaknya menggesa kerajaan negeri membatalkan cadangan itu yang dibimbangi boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan habitat hidupan liar.

Menurutnya, pengubahsuaian berkenaan dilihat tidak selaras dengan prinsip pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi.

“Kita mendapat makluman bahawa kerajaan negeri tengah membentuk satu dasar yang melibatkan enam jajahan untuk mengubah suai sistem ekologi yang boleh membawa kepada bencana.

“Jadi, hari ini kita bersepakat bersama 12 NGO hadir menyerahkan memorandum untuk perhatian kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan serta membatalkan hasrat pengubahsuaian KSAS,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, seorang lagi wakil NGO Himpunan Kasih, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir memberitahu, pihaknya terpanggil untuk menyuarakan bantahan berhubung isu pengubahsuaian KSAS yang boleh menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Katanya, apabila usaha pemuliharaan kawasan hutan terjejas ia sekali gus akan memberi kesan bencana termasuk banjir besar sekiranya berlaku hujan lebat.

“Bermula 11 Oktober sehingga 11 November ini sedang berlangsungnya pungutan suara dari rakyat samada memberi sokongan atau tidak terhadap cadangan pengubahsuaian berkenaan.

“Hutan adalah hak milik semua dan saya menuntut supaya seluruh rakyat Kelantan untuk bangkit beramai-ramai bagi memberi bantahan cadangan pengubahsuaian KSAS bagi memastikan alam sekitar sentiasa terjaga,”katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bercadang untuk menghentikan pembayaran Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kelantan jika cadangan pengubahan KSAS oleh pihak kerajaan negeri diteruskan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan yang diperkenal pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan mengesahkan cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri hanya membabitkan keluasan sebanyak 514,898 hektar.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan tersebut sama sekali tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN