Pesara terpedaya pelaburan tidak wujud, rugi RM166,000 - Utusan Malaysia

Pesara terpedaya pelaburan tidak wujud, rugi RM166,000

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasrat bekas pengurus kilang untuk menambah pendapatannya melalui pelaburan gagal apabila mengalami kerugian sehingga RM166,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan secara dalam talian.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan seorang pesara berusia 53 tahun diperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sekitar awal November lalu, mangsa dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang mana membimbing ahli-ahlinya secara percuma berkaitan pelaburan.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa berminat dengan pelaburan tersebut dan telah menghubungi pentadbir kumpulan sekali gus telah memuat naik aplikasi ExGCOO untuk pendaftaran.

“Susulan itu, mangsa mula mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang simpanan miliknya sebanyak lapan kali ke enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM110,000,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mangsa semakin terpedaya apabila mendapati platform saham ExGCOO mempamerkan nilai saham beserta keuntungan yang sudah mencecah sehingga RM200,000.

Jelasnya, mangsa berhasrat mengeluarkan wang itu dari platform ExGCOO tetapi kononnya ia disekat.

“Pada peringkat awal, mangsa berjaya memperoleh keuntungan RM5,000 namun suspek memintanya untuk membayar cukai sebanyak 20 peratus dengan jumlah RM56,000 dan mangsa sudah pun membayarnya.

“Kemudiannya, suspek meminta lagi bayaran cukai sebanyak 15 peratus tetapi mangsa enggan membayarnya kerana berasa ditipu. Mangsa segera membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Yahaya dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya