JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melancarkan penubuhan Pusat Kelestarian Johor (JSC) sempena Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), hari ini.
Baginda bertitah, JSC akan menjadi platform utama bagi agensi tempatan menjalin kerjasama dengan agensi antarabangsa untuk meletakkan inisiatif hijau kerajaan negeri ke tahap implementasi.
“Sehubungan itu, penting bagi JSC bekerjasama erat dengan universiti tempatan kerana institusi pendidikan itu memainkan peranan penting berhubung kesan perubahan iklim, sama ada melakukan kajian dan meningkatkan kesedaran awam, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kesan perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar akan menjadi cabaran utama dalam kehidupan sejagat yang memberi kesan secara langsung kepada kita semua.
“Ia merupakan risiko bukan sahaja kepada taraf hidup, malah juga infrastruktur, pelaburan dan perniagaan. Malangnya, golongan paling terjejas adalah mereka yang sedia terdedah dengan aspek-aspek itu,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan APCW 2023, di sini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan Malaysia mengalami kerugian berjumlah RM622.4 juta ekoran bencana banjir yang melanda negara sepanjang tahun lalu dan jumlah itu bersamaan dengan 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Bencana banjir ekoran kesan perubahan iklim turut menjejaskan biodiversiti, memberi kesan terhadap bekalan air dan keterjaminan makanan, sekali gus mengancam keselamatan dan kesihatan awam.
“Ketika ini, semua agensi kerajaan sedang bersiap siaga untuk berdepan Monsun Timur Laut, termasuk dengan meningkatkan sumber tenaga manusia dan aset yang diperlukan untuk menghadapi bencana banjir.
“Dengan kesan perubahan iklim yang semakin memburuk, langkah adaptasi bersesuaian diperlukan untuk mengatasi isu ini daripada terus berpanjangan,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Nazmi memberitahu, pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah hala tuju terbaik negara dalam berdepan isu berkenaan. – UTUSAN