GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan menjalankan siasatan berkait seorang lelaki warga Indonesia yang maut dipercayai diserang harimau belang dalam kejadian di sebuah ladang di Kampung Meranto di sini, semalam.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan di lokasi itu bertujuan mencari bukti untuk menentukan sebab dan punca kematian sebenar.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat berkait kejadian itu pada pukul 10 pagi semalam daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, sepasukan anggota bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah bergerak ke lokasi kejadian.
“Jarak antara bandar Gua Musang dengan kawasan ladang berkenaan lebih kurang 55 kilometer dan mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk sampai ke lokasi serta bergantung kepada keadaan cuaca.
“Akses masuk ke kawasan itu hanya boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan ladang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, sebelum ini satu kes kecederaan dan dua kematian Orang Asli akibat diserang harimau belang telah direkodkan di Kelantan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya.
Utusan Online hari ini melaporkan, seorang lelaki warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dibaham harimau dalam kejadian di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik, di sini semalam.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Sukria, ditemukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan tersebut.-UTUSAN