KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, esok.
Perbahasan peringkat dasar mengenai RUU Perbekalan 2024 bagi kementerian yang lain dilaksana dalam tempoh lapan hari bermula 16 Oktober, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang diumum ketika membentang Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, termasuk pelaksanaan dasar gaji progresif.
Beliau dijangka menggariskan mekanisme bagi sistem gaji progresif itu.
Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bilion.
Belanjawan itu adalah yang tertinggi pernah dibentang dalam sejarah Malaysia, dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion disediakan untuk simpanan luar jangka.
Antara inti pati Belanjawan 2024 ialah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus pada tahun ini.
Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac, 2024.-UTUSAN.