IPOH: Perak FC tetap akan memberi saingan kepada gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.
Ketua Jurulatih Perak, Yusri Che Lah sedar laluan sukar dihadapi anak buahnya tetapi belum sedia untuk menyerah kalah setelah dibenam 1-4 pada aksi separuh akhir pertama pada 19 Oktober lalu di Ipoh.
“Harapan saya adalah untuk melihat bagaimana pemain cuba memberikan saingan kepada JDT.
“Saya sedar keputusan sebelum ini agak besar jurang jaringannya tetapi itu bukan bererti kami hadir untuk menjadi mangsa bahaman mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya Yusri sedar mencapai kejayaan ke atas juara bertahan itu adalah hampir mustahil.
Oleh yang demikian, jurulatih itu berkata, kesungguhan dan aksi terpuji daripada anak didiknya menjadi keutamaan pada perlawanan hari ini.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk Perak mencapai kejayaan, namun harus diingat selagi pemain memberikan kesungguhan dan beraksi dengan baik, itu adalah keutamaan saya,” katanya.
Yusri berkata, kemenangan besar 8-0 Perak ke atas Kelantan FC The Red Warriors (TRW) dalam perlawanan Liga Super Sabtu lalu, tidak boleh dijadikan ukuran kerana perbezaan yang besar antara kedua-dua pasukan.
“Kita tidak boleh ambil kira kejayaan itu kerana TRW berbeza daripada JDT.
“Namun ia sudah pasti memberikan sedikit keyakinan kepada pemain Perak FC untuk pertemuan dengan JDT,” katanya.
Sementara itu, Yusri berkata, Perak turun ke gelanggang hari ini tanpa Luciano Guaycochea yang digantung perlawanan tetapi yakin pemain lain bersedia untuk meneruskan perjuangan pasukan. – UTUSAN