PETALING JAYA: Pepsodent jenama penjagaan mulut halal melancarkan kempen meningkatkan kesedaran kebersihan gigi dalam kalangan komuniti B40 di Lembah Klang melalui kempen 2-2-10 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Pemasaran, Unilever International, Nitin Agarwal berkata, kempen itu diadakan bagi menyampaikan mesej pendidikan dan amalan penjagaan mulut yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tujuan Unilever International untuk ‘berkhidmat kepada yang terabai’ adalah selaras dengan kempen ini iaitu demi mendidik dan memperkasakan komuniti yang terabai tentang kepentingan kebersihan mulut,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama dari pihak Malaysian Allied Health Sciences Academy (Mahsa) yang komited menyediakan dan mengekalkan standard kesihatan mulut yang optimum buat masyarakat.
Dekan fakulti pergigian di MAHSA Profesor Datuk Dr. Mohamed Ibrahim berkata, kerjasama itu sebagai satu usaha murni MAHSA untuk memberi pendedahan kepada pelajar kami berkenaan peluang dalam sains pergigian.
Selain itu, kempen ini turut disokong oleh MYDIN Prihatin cabang CSR Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN).
Pengarah Urusan MYDIN Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, MYDIN percaya bahawa semua rakyat Malaysia seharusnya mempunyai akses kepada penyelesaian penjagaan gigi yang betul.
Selain pengagihan kit penjagaan mulut kepada orang ramai, pengaktifan kempen ini turut merangkumi pemeriksaan dan rundingan kesihatan pergigian, demonstrasi memberus gigi setiap jam serta pengedaran kit ubat gigi.
Kempen itu juga akan diaktifkan di Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak dan melibatkan pengedaran Kit ubat gigi serta maklumat petua penjagaan gigi, inisiatif MYDIN Prihatin.
Inisiatif dengan kerjasama Fakulti Pergigian Universiti MAHSA dan MYDIN Prihatin turut menyasarkan komuniti B40 yang merangkumi pengedaran 60,000 kit ubat gigi.-UTUSAN