Penjana: Pasangan suami isteri didakwa kemuka tuntutan palsu RM62,120 - Utusan Malaysia

Penjana: Pasangan suami isteri didakwa kemuka tuntutan palsu RM62,120

P. POOWESNA (dua dari kanan) dan A. Mohana Sundharam (dua dari kiri) diiringi pegawai SPRM didakwa di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang juga pengarah sebuah syarikat import eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu membabitkan tuntutan berjumlah RM62,120, dua tahun lalu.

Tertuduh, P. Poowesna, 35, dan A. Mohana Sundharam, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa mempunyai niat bersama memberikan satu dokumen, iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan TMB Resources bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka mengemukakan dokumen itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu tentang 10 pekerja baharu yang bukan pekerja syarikat berkenaan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, di sini pada 30 Mei 2021.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan.

Peguam Mohd. Salleh Tugimin yang mewakili Poowesna bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah sebanyak RM5,000.

Mohd. Salleh memberitahu, anak guamnya yang bertugas sebagai pengurus pentadbiran di sebuah syarikat dengan pendapatan RM5,000 sebulan merupakan pencari nafkah tunggal untuk ibu bapa serta dua adiknya serta turut mengalami bipolar tahap dua dan masih dalam rawatan.

Peguam bela Abd. Rahim Ali yang mewakili Mohana Sundharam pula memaklumkan anak guamnya hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM8,000.

Katanya, lelaki itu berpendapatan RM5,800 sebulan sebagai pengarah sebuah syarikat, namun menanggung kedua ibu bapanya dan seorang anak saudara.

Mahkamah kemudian membenarkan Poowesna diikat jamin RM5,000 dan Mohana Sundharam sebanyak RM8,000, masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan sebagai sebutan semula untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN