KUANTAN: Gara-gara ingin mendapatkan pekerjaan sambilan, seorang peniaga kerugian sehingga RM94,404 akibat terpedaya dengan tawaran kerja di laman sosial.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil maklumat awal, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 47 tahun dan berasal dari Rompin, dekat sini diperdaya melalui tugasan kerja promosi hotel di iklan melalui aplikasi WhatsApp sehingga mendorongnya membuat bayaran dan mengalami kerugian.
“Pada mulanya mangsa melihat iklan di aplikasi Facebook yang menawarkan kerja sampingan dan telah menekan pautan tersebut lalu disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
“Kemudiannya, mangsa berurusan dengan seorang perempuan yang tidak dikenali dan diminta membuat tugasan menaikkan review hotel melalui aplikasi Bookingterra.
“Suspek menyakinkan mangsa dengan dimaklumkan kononnya mendapat bayaran selepas menyiapkan kesemua tugasan setiap hari tetapi mangsa perlu membuat deposit terlebih dahulu untuk membuat tempahan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mangsa melakukan lima kali tugasan kerja promosi hotel tersebut seperti mana yang diarahkan.
Jelasnya, susulan itu, mangsa juga membuat sebanyak 20 kali transaksi pindahan wang miliknya ke-12 akaun bank yang berbeza sehingga berjumlah RM96,504.16.
“Disebabkan merasakan dirinya tertipu, mangsa segera membuat laporan berkenaan kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan berkenaan seorang juruteknik yang dipercayai diperdaya dengan pelaburan tidak wujud sehingga mengalami kerugian sebanyak RM85,000.
- Katanya, kejadian bermula Ogos lalu, apabila mangsa yang berusia 41 tahun itu melayari laman sosial, Instagram berkaitan jual beli saham bursa Malaysia. – UTUSAN