KOTA BHARU: Cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh kerajaan negeri terus mendapat bantahan rakyat Kelantan apabila lebih lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan pekarangan Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Pada masa sama NGO dari Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Save Kelantan, Kelab Cakna Alam Kelantan dan pihak yang mewakili masyarakat Orang Asli dari 15 buah kampung di hulu negeri ini turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Kerajaan Kelantan sebagai tanda tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata, cadangan yang akan melibatkan kawasan hutan di Gua Musang dan Jajahan Kecil Lojing itu dilihat tidak relaven kerana kawasan simpanan hutan semakin kecil.
“Kami sebagai masyarakat adat yang tinggal di kawasan pendalaman dapat melihat saban hari kawasan hutan kita semakin rakus dirompak.
“Jadi kami tidak mahu hanya kerana mencari pendapatan atau keuntungan, akhirnya kerajaan negeri menggadaikan keselamatan rakyatnya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mustafa memberitahu, masyarakat Orang Asli melihat pelan perubahan berkenaan hanya akan membawa impak negatif kepada penduduk dan alam sekitar di sebalik memenuhkan kantung pihak tertentu.
Katanya, pelan berkenaan dilihat akan membawa kepada aktiviti penebangan hutan secara berleluasa sehingga mengancam habitat hidupan liar sekali gus kehidupan masyarakat di kawasan pendalaman.
“Kita dapat menjangkakan kemusnahan hutan terutama Hutan Simpan Perias yang merupakan habitat utama harimau di negeri ini akan menyebabkan kacau ganggu hidupan liar terhadap manusia semakin meruncing dan mengganggu kehidupan masyarakat terutama di Pos Balting, Balar dan Bihai.
“Kalau dilihat sejak tiga tahun kebelakangan ini, ancaman ke atas habitat hidupan liar telah membawa kepada dua kematian di Pos Bihai dan Pos Pasik. Satu lagi melibatkan kecederaan akibat serangan harimau di Pos Bihai,” ujarnya.
Mustafa berkata, masih ada altenatif lebih mampan untuk kerajaan negeri menjana pendapatan termasuk melalui aktiviti ekopelancongan sepertimana dilaksanakan di Thailand yang diyakini mampu memberi pendapatan sehingga berbilion ringgit setahun.
“Jadi saya harap kerajaan negeri mendengar keluh kesah kami sebagai masyarakat yang akan terjejas secara langsung dan membatalkan cadangan pelan perubahan berkenaan,” katanya.-UTUSAN