Pengguna bas ekspres laluan Seremban-KL digalak beli tiket dalam talian - Utusan Malaysia

Pengguna bas ekspres laluan Seremban-KL digalak beli tiket dalam talian

J. ARUL Kumar (kiri) melihat operasi sistem jualan tiket berpusat (CTS) yang mula dilaksanakan di Pusat Pengangkutan Terminal 1, Seremban sejak kelmarin.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengguna bas ekspres bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur dari Pusat Pengangkutan Terminal 1 di sini digalakkan untuk membeli tiket perkhidmatan itu secara dalam talian.

Langkah tersebut bagi mengelakkan mereka perlu berdepan isu perlu beratur lama untuk membeli tiket bas selepas pusat pengangkutan itu mula melaksanakan sistem jualan tiket berpusat (CTS) sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pembelian secara dalam talian itu tentu lebih mudah dan tidak mengambil masa yang lama buat pengguna.

“Lebih 600 orang menggunakan perkhidmatan bas ekspres Seremban-Kuala Lumpur untuk ke tempat kerja mereka di ibu negara pada setiap pagi, apabila mereka beli tiket di kaunter memang ambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengangkutan Terminal 1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai terdapat rungutan pengguna dan penumpang bas laluan Seremban-Kuala Lumpur semalam yang terpaksa beratur panjang ketika membeli tiket di kaunter jualan tiket berpusat di situ.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keperluan untuk pembeli tiket bas untuk mengisi maklumat peribadi masing-masing di kaunter sehingga menyebabkan masa terlalu lama diambil untuk urusan berkenaan, Arul Kumar berkata ia sememangnya syarat bagi setiap penumpang bas ekspres.

“Semua operator bas ekspres memerlukan maklumat penumpang mereka, nama dan nombor telefon sahaja sebagai rekod. Laluan Seremban-Kuala Lumpur ini termasuk dalam perkhidmatan bas ekspres, bukannya bas henti-henti, oleh itu proses mengambil maklumat penumpang perlu dilakukan.

“Jadi untuk mengatasi isu ini, saya menggalakkan penumpang untuk membeli secara dalam talian, di situ semua maklumat pembeli dan penumpang sudah ada, kemudian mereka hanya perlu imbas kod QR pembelian tiket sebelum menaiki bas,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, selepas perbincangan diadakan bersama pihak berkaitan, caj RM1 yang dikenakan sebelum ini bagi perkhidmatan pembelian dalam talian untuk perkhidmatan bas ekspres Seremban-Kuala Lumpur akan dimansuhkan.

“Caj fasiliti sebanyak 70 sen juga sedang dipertimbangkan untuk pengurangan atau pengecualian sehingga kerja-kerja naik taraf kemudahan di Pusat Pengangkutan Terminal 1 yang akan dimulakan tidak lama lagi siap sepenuhnya,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya