Pengarah syarikat mengaku tidak salah kemuka tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat mengaku tidak salah kemuka tuntutan palsu

S. RAMAMOORTHY mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi memperdayakan pegawai Perkeso di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengarah sebuah syarikat pendidikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso berjumlah RM74,120, dua tahun lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, S. Ramamoorthy, 41, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan itu, tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat Karisma Education Group Sdn. Bhd., bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dia didakwa mengemukakan dokumen yang terdapat senarai nama 10 pekerja yang bukan pekerja syarikatnya itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu bagi menuntut insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM74,120 di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, di sini pada 25 Mei dan 26 Mei 2021.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli memaklumkan perbuatan tertuduh itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 dengan dua syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.

Peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan tertuduh berpendapatan RM2,500 sebulan dan perlu menanggung dua anak berusia tiga dan enam tahun, isteri, ibu dan ibu mentuanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN