Penganggur dipenjara lapan tahun dera kanak-kanak perempuan

Penganggur dipenjara lapan tahun dera kanak-kanak perempuan

NORHASLINA Hassim (dua dari kiri) dan Nur Intan Baiduri (dua dari kanan) dibawa untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun keatas seorang penganggur dipenjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang juga anak kepada rakannya sejak sebulan lalu.

Tertuduh, Norhaslina Hassim, 42,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Bagaimanapun, adiknya, Nur Intan Baiduri, 32, yang turut didakwa atas kesalahan sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Norhaslina dan Nur Intan Baiduri didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan ketika kejadian dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Pangkal Changgong, Machang antara 27 Oktober sehingga 19 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan Norhaslina tidak diwakili peguam manakala Nur Intan Baiduri diwakili Wan Mohd. Ikram Wan Ibrahim.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh pertama dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kedua.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun kepada Norhaslina yang bermula daripada tarikh dia tangkap iaitu pada 19 November lalu, manakala tertuduh kedua tidak dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah turut menetapkan 28 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi kes yang dihadapi Nur Intan Baiduri.

Mengikut fakta kes, polis terima panggilan dari Hospital Machang yang memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1.45 tengah hari pada 19 November lalu.

Susulan daripada laporan itu, polis menahan dua orang wanita selain merampas dua telefon bimbit, sebatang rotan panjang dan satu penyangkut baju di sebuah rumah.

Siasatan mendapati, Norhaslina dan adiknya memukul mangsa dengan menggunakan tangan, penyangkut baju dan rotan panjang sehingga menyebabkan badan dan kepala kanak-kanak itu cedera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN