Penerbit rancangan RTM didakwa kali kedua - Utusan Malaysia

Penerbit rancangan RTM didakwa kali kedua

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas seminggu dituduh atas pertuduhan menerima wang, seorang Ketua Penolong Pengarah sebuah stesen televisyen didakwa lagi atas pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Suhaila Md. Zain, 44, yang bertugas di Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) didakwa menerima RM18,000 daripada seorang wanita yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Penerbit Rancangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 April dan 5 Jun 2019 di pejabatnya di Angkasapuri di sini. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Suhaila yang diwakili peguam bela, Gurmit Singh Hullon mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Pada 14 November lalu, Suhaila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima wang RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pada 2018.

Wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dan diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebulan sekali.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon agar mahkamah mengguna pakai ikat jamin dan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, minggu lalu.

“Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 November lepas. Saya memohon untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sana untuk dibicarakan bersama,” kata pendakwa raya itu.

Hakim Rozina Ayob selepas mendengar permohonan tersebut dan dimaklumkan bahawa pembelaan tidak membantah terhadap permintaan pendakwaan, membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN