Penduduk boleh bawa isu kenaikan cukai tidak ke mahkamah - Utusan Malaysia

Penduduk boleh bawa isu kenaikan cukai tidak ke mahkamah

HASSAN ABDUL KARIM berucap pada Sesi Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex. Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) boleh memfailkan bantahan mereka terhadap Nilaian Baharu Cukai Harta di mahkamah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, itu antara langkah yang boleh dilakukan penduduk sekiranya bantahan mereka tidak diendah pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurutnya, rakyat ada hak mengambil tindakan terhadap PBT dan Datuk Bandar Pasir Gudang sekiranya kenaikan cukai yang dilaksanakan tidak munasabah.

“Penduduk ada locus standi dan hak untuk bawa perkara ini ke mahkamah sekiranya bantahan dan rayuan dibuat tidak didengari dan kenaikan cukai secara mendadak masih tetap diteruskan,” katanya pada sesi Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini hari ini.

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad memberitahu, PBT itu sedia menimbang semula pelaksanaan cukai baharu tersebut.

Menurutnya, satu mesyuarat khas akan diadakan pertengahan bulan ini bagi memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti, manakala penduduk dibenarkan membuat bantahan bertulis atau secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor meminta penduduk Pasir Gudang untuk membuat bantahan rasmi secara beramai-ramai.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah lebih 50 peratus daripada 98,480 pemilik harta yang bakal dikenakan cukai baharu itu membuat bantahan, ketika ini hanya 1,300 bantahan diterima daripada keseluruhan jumlah penduduk Pasir Gudang.

“Apabila ada suara dua pertiga yang kuat atau lebih 50 peratus, Datuk Bandar Pasir Gudang dan Ahli-ahli Majlis yang lain akan mendengarnya,” katanya.

Pihaknya juga akan membawakan isu tersebut kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Selasa ini.

“Selain itu, saya juga akan bangkitkan perkara in dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Johor Bahru minggu depan dan maklumkan kepada Exco Kerajaan Negeri terlibat. 

“Sekiranya semua usaha buntu, penduduk boleh datang beramai-ramai ke Ibu pejabat MBPG di Menara Aqabah, di sini untuk membuat bantahan, saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang akan hadir untuk beri sokongan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya