Pembinaan Masjid Taman Politeknik Port Dickson dibiaya hasil dana wakaf - Utusan Malaysia

Pembinaan Masjid Taman Politeknik Port Dickson dibiaya hasil dana wakaf

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan kunci Masjid Taman Politeknik Port Dickson pada Majlis Penyerahan Masjid dan Pengisytiharan Solat Jumaat Masjid Taman Politeknik Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Masjid Taman Politeknik Port Dickson di sini yang dibiaya sepenuhnya daripada sumber dana wakaf iaitu pewakaf utama dan pewakaf tunai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kini bersedia menampung kapasiti sehingga 2,100 orang jemaah.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, selepas mengambil masa empat tahun proses pembinaannya, masjid berkenaan telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober lalu.

“Masjid ini pada asalnya berkapasiti seramai 1500 orang, bagaimanapun dengan sumber dana wakaf yang menggalakkan dan atas permintaan ahli kariah masjid ini, pembinaan masjid telah menambahkan keluasan lantai masjid di bahagian ruang limpah belakang.  Ia dapat menempatkan kira-kira 600 orang jemaah yang menjadikan keseluruhan kapasiti masjid seramai 2,100 orang jemaah.

“Alhamdulillah, pada hari ini masjid ini dapat diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan dapat digunakan sepenuhnya oleh penduduk sekitar bagi melaksanakan solat fardu dan aktiviti kerohanian serta kemasyarakatan.

“Jumlah dana wakaf bagi pembinaan Masjid Taman Politeknik Port Dickson adalah berjumlah RM4,558,800, saya berterima kasih kepada para pewakaf khususnya pewakaf utama Encik Ali Shukree,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Penyerahan Masjid dan Pengisytiharan Solat Jumaat Masjid Taman Politeknik Port Dickson, di sini, hari ini.

Yang hadir sama pada majlis berkenanan ialah, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pada majlis berkenaan, Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin turut mengisytiharkan solat Jumaat buat kali pertama di masjid berkenaan.

PEMBINAAN Masjid Taman Politeknik Port Dickson telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Abdul Aziz dalam pada itu menambah, pembinaan masjid wakaf seperti Masjid Taman Politeknik Port Dickson menjadi salah satu bukti peranan penting MAINS dalam menyokong dan membantu pembangunan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan. 

“Usaha ini selaras dengan matlamat MAINS untuk memantapkan lagi institusi pengurusan wakaf dan pengurusan harta orang Islam agar dapat meningkatkan sosioekonomi dan pegangan harta Umat Islam lebih kukuh dan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, masjid berkenaan sudah tentu memberi manfaat besar buat penduduk yang sebelum ini menggunakan surau berhampiran dan masjid di dalam politeknik untuk menjalankan aktiviti keagamaan. 

“Manfaatkanlah dana wakaf pembinaan masjid ini dengan sebaiknya, semoga Allah berikan ganjaran yang terbaik buat semua penyumbang.

“Kerajaan Negeri juga turut aktif membina dan baik pulih lebih banyak masjid dan surau di sekitar Negeri Sembilan untuk keperluan seluruh penduduk negeri ini.

“Masjid dan surau adalah jantung bagi masyarakat. Setakat hari ini, terdapat 305 buah masjid dan 1,088 buah surau yang beroperasi dan aktif di seluruh Negeri Sembilan, insya-Allah, pada penghujung tahun ini, ada tiga buah masjid baharu yang akan menambahkan kemakmuran negeri ini serta boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat Islam,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya