KUANTAN: Hasrat seorang pembantu tadbir untuk melayari bahtera perkahwinan, akhirnya berkecai akibat terpedaya dengan sendikit penipuan laman sosial sehingga kehilangan wang simpanannya berjumlah RM170,408 pada Oktober lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 40 tahun itu diperdaya seorang individu yang dikenali melalui laman sosial, Instagram.
Menurutnya, hasil siasatan awal mangsa berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Fahad Ramzan.
“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada Oktober 2023 yang mana mangsa melayari laman Instagram dan berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai rakyat tempatan.
“Suspek dan mangsa kemudiannya mula berhubung secara serius melalui aplikasi WhatsApp dan turut berjanji untuk berkahwin dengan mangsa. Susulan itu mangsa mula mempercayai lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, selepas perkenalan itu, Fahad meminjam wang mangsa sebanyak RM1,500 sebagai permulaan.
Jelasnya, suspek kononnya menggunakan alasan untuk membuat pembayaran bil hospital miliknya dan berjanji akan memulangkan semula wang tersebut.
“Sejak itu, Fahad berterusan meminjam wang mangsa lagi atas pelbagai alasan yang boleh memperdayakannya.
“Setakat ini, mangsa sudah membuat sembilan kali transaksi bermula dari 24 Oktober lalu sehingga 14 November lalu dan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM170,408.50.
“Akibat merasakan dirinya sudah tertipu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN