Pembangkang Kedah mohon diberi peruntukan - Utusan Malaysia

Pembangkang Kedah mohon diberi peruntukan

Bau Wong Bau Ek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Permohonan supaya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diberikan sedikit peruntukan oleh kerajaan negeri antara dibangkitkan ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek dalam sesi perbahasan pertamanya selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini. 

Menurut Bau Wong, permohonan tersebut dibuat dengan rasa rendah diri bertujuan bagi membolehkan mereka ‘bergerak’, terutamanya ketika kawasan masing-masing berdepan bencana seperti kebakaran atau banjir. 

“Saya dengan rendah diri memohon perhatian supaya disediakan sedikit peruntukan untuk tiga ADUN pembangkang. Mohon Yang Berhormat Jeneri (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) beri sedikit peruntukan. 

“Peruntukan khas ini bagi melaksanakan program kemasyarakatan dan berdepan bencana seperti kebakaran, banjir atau ribut. Jika ada peruntukan, bolehlah kami bergerak sebelum tindakan lanjut diambil. 

“Kita sedia maklum, bencana seperti banjir dan ribut kerap melanda Kedah kebelakangan ini. Dengan adanya peruntukan itu, sekurang-kurangnya kami dapat menyalurkan bantuan segera sebelum tindakan susulan diambil,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Bajet Kedah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. 

Selain Bau Wong, dua lagi ADUN pembangkang ialah Adam Loh Wei Chai dan Teh Swee Leong  iaitu ADUN Bakar Arang dan Kota Darul Aman. 

Bau Wong yang juga Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah berkata, beliau yakin peruntukan kepada tiga ADUN pembangkang itu tidak akan mengganggu-gugat pentadbiran dan kestabilan kerajaan negeri. 

“Semoga kami dapat sama-sama membantu serta merancakkan pembangunan ekonomi mahu pun dalam menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing. 

“Selain itu, saya memohon tambahan peruntukan bagi pengurusan pejabat dan pusat khidmat daripada RM2,000 yang diperoleh sekarang kepada RM3,000 sebulan memandangkan peningkatan ketara kos dalam semua aspek termasuk utiliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya