GUA MUSANG: Seorang pemandu maut selepas lori yang membawa muatan baja kenderaan bergesel dengan penghadang konkrit sejauh 534 meter sebelum terbabas di bahu jalan di Kilometer 81, Jalan Gua Musang-Lojing, Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, R. Logathan, 49, maut maut manakala kelindannya, M. Jeswinraj, 18, mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati lori tersebut dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Lojing untuk menghantar baja.
Menurutnya, setiba di lokasi lori jenis Isuzu yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu bergesel dengan konkrit penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terbabas di bahu jalan.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi dan jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kepala dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-4742270.-UTUSAN