Pemandu jengkaut didenda RM8,000, main mercun atas jalan raya - Utusan Malaysia

Pemandu jengkaut didenda RM8,000, main mercun atas jalan raya

P. MANIMARAN (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan bermain mercun hingga membahayakan nyawa dan merosakkan harta awam pada Jumaat lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu jengkaut didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain mercun hingga membahayakan nyawa dan merosakkan harta awam pada Jumaat lalu.

Tertuduh, P. Manimaran, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan  dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Sekiranya gagal membayar gagal denda, tertuduh boleh dipenjara 10 bulan.

Manimaran sebelum itu teragak-agak untuk membuat pengakuan sebaik mendengar hukuman penjara dan denda sehingga RM10,000 yang boleh dikenakan jika disabitkan bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan sesuatu perbuatan dengan niat hendak menyebabkan dengan menggunakan bahan letupan, suatu letupan dari jenis yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kerosakan teruk pada harta.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang, 10 November lalu di Simpang Tiga Jalan Kuala Sawah- Ulu Sawah, Rantau, di sini.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Redzuan Hakiim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda yang paling minimum memandangkan Manimaran berpendapatan RM1,500 sebulan selain mengambil kira pengakuan bersalahnya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain. 

Media pada 13 November lalu melaporkan, pihak polis sedang mengesan individu yang kelihatan sedang membakar mercun di dalam rakaman video tular di media sosial Facebook dalam kejadian di atas jalan raya Kuala Sawah, Rantau di sini.

Video itu memaparkan beberapa individu memberhentikan trafik atau kenderaan dan kemudian membakar mercun di tengah jalan raya yang boleh menimbulkan bahaya kepada orang awam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN