PETALING JAYA: Malaysia dilantik tuan rumah untuk julung kalinya mempertandingkan Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia yang bermula esok hingga Isnin ini.
Kejohanan ini merupakan salah satu daripada tiga yang diiktiraf ‘World Aquatics Diving’ dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama, diikuti Madrid (Sepanyol) pada 1 hingga 3 Disember dan Rostock (Jerman) pada 18 hingga 21 Januari 2024.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Jalil itu menyaksikan seramai 44 peserta berentap dalam saingan pertama yang mempertaruhkan lapan acara.
Tiga acara yang menjadi tumpuan esok ialah ialah 3 meter (m) papan anjal lelaki, 3m papan anjal wanita, serta tidak ketinggalan 10m platform synchro yang menampilkan atlet negara yang sudah layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024, Bertrand Rhodict bergandingan dengan Enrique Maccartney Harold.
Terdapat empat negara menghantar wakil, Uzbekistan, Indonesia, Singapura dan Hong Kong, termasuk penyertaan daripada beberapa negeri turut melengkapkan acara dari Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Perak.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, penganjuran kejohanan itu memberi peluang kepada atlet-atlet muda untuk menggilap bakat di samping meraih pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.
“Kita harapkan dengan adanya pasukan-pasukan luar negara ini, atlet Malaysia boleh melihat kebolehan mereka dan jadikan kayu ukur kepada kemampuan diri sendiri.
“Purata umur yang menyertai pun adalah dari 18 hingga 25 tahun, jadi kita harap mereka beroleh sesuatu dalam kejohanan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN