SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kecewa dengan insiden pencemaran diesel di Sungai Linggi petang semalam sehingga menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini terpaksa dihentikan.
Dalam nada tegas, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kejadian tersebut sebagai perbuatan khianat dan biadab kerana telah menyusahkan masyarakat yang lain.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi tentang perkara ini, jika jumpa (pelaku) kami akan pastikan mereka diambil tindakan tegas. Perkara ini cukup bahaya dan menyusahkan rakyat.
“Saya harap orang ramai yang tinggal berhampiran jika mempunyai maklumat tentang pencemaran ini, tolong salurkan kepada pihak berwajib, jika dapat disahkan, kami akan ambil tindakan tegas kepada mereka (pelaku) yang mementingkan diri sendiri ini.
“Ia perkara yang cukup biadab, itu sahaja perkataan yang sesuai kerana menyusahkan rakyat. Orang ramai harus faham, ada perkara yang kita tidak boleh berkompromi antaranya berkaitan isu makanan dan minuman, itu yang harus dijaga, ketika orang ramai mahu sambut perayaan Deepavali, ada yang khianat kita, ini memang pengkhianatan,” katanya.
Aminuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan insiden tersebut telah menyebabkan sebahagian besar kawasan di daerah Port Dickson mengalami gangguan bekalan air ekoran pemberhentian operasi LRA Sungai Linggi itu.
Operasi LRA berkenaan terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut yang berbau diesel pada pukul 4 petang semalam.
Bagaimanapun, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, LRA tersebut telah mula kembali beroperasi seperti biasa setelah tiada lagi pencemaran bau dikesan di dalam sumber air dari Sungai Linggi.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA), Sains dan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban untuk mencari punca berlakunya pencemaran berkenaan sekali gus pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.
“Tinjauan di sepanjang sungai dan kilang-kilang berhampiran sungai sedang dilakukan untuk lihat punca berlakunya perkara tersebut.
“Awal pagi ketika di kawasan pembuangan sisa, mereka tidak mendapati punca pencemaran diesel itu, selepas itu saya arahkan mereka pergi ke kawasan-kawasan di mana terdapatnya kawasan perindustrian, kilang berhampiran sungai, termasuk mana-mana kediaman yang dirasakan boleh datangkan masalah itu,” katanya.-UTUSAN.