PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di peringkat akhir bagi proses untuk pindaan Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341) yang membolehkan pasukan bomba sukarela (PBS) diletakkan di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad menjelaskan, peringkat akhir proses pindaan itu adalah membabitkan sesi-sesi keterlibatan termasuk bersama Pejabat Peguam Negara.
Beliau menjelaskan lagi, pindaan itu nanti membolehkan JBPM menyelaras pembangunan menyeluruh buat PBS termasuk keperluan pakaian perlindungan diri, elaun yang perlu dipertimbangkan, pemberian geran tahunan serta pengurusan pentadbiran tahunan pasukan itu.
“Ini salah satu langkah kerajaan bagi menggalakkan semangat sukarela, insya-Allah awal tahun depan (dapat direalisasikan) setelah mendapat keputusan daripada Pejabat Peguam Negara.
“Ia tertakluk kepada keputusan akhir yang akan dimasukkan ke Parlimen. Sebelum ini, JBPM membuat hanya membuat selian prestasi PBS dan pindaan akta baharu ini membolehkan jabatan mempunyai kuasa menyeluruh untuk memartabatkan lagi PBS,” katanya.
Beliau berkata pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen PBS Zon Selatan, JBPM tahun 2023 di sini hari ini.
PBS sebelum ini adalah di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Terdahulu, ketika berucap Nor Hisham berkata, selain pindaan Akta 341 berkenaan, langkah lain yang diambil adalah menerusi pemberian peruntukan geran bantuan kewangan sebanyak RM1,071,000 dan penyediaan perlindungan insurans takaful kelompok secara percuma kepada anggota PBS sebanyak RM600,000 setahun.
Dalam perkembangan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL), Nor Hisham berkata, pasukan bomba sukarela juga memainkan peranan yang sangat penting dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, terdapat 348 PBS dengan kira-kira 9,000 ahli aktif di seluruh negara dan merupakan antara pasukan terawal yang boleh memberi respon semasa berlakunya bencana.
“Kita ambil contoh insiden yang berlaku di Chaah (Segamat, Johor). Bomba sukarela ni ada di lokasi serta menjadi mata dan telinga pasukan. Mereka akan respon yang pertama menyuruh penduduk keluar dari rumah supaya kita (JBPM) tidak bazir sumber untuk bercakap.
“Fokus pasukan ialah menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dan dapat kurangkan risiko kehilangan nyawa serta risiko ancaman pergerakan kepada mangsa itu,” katanya lagi.-UTUSAN.