KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membuka permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk sepanjang tahun bermula bulan ini, berbanding setahun sekali sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai langkah penambahbaikan terhadap sumbangan berkenaan.
“Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan bayaran STR Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima pada 7 November ini.
“Seramai 5.2 juta penerima akan mendapat STR antara RM100 hingga RM1,200 manakala permohonan rayuan yang diluluskan menerima antara RM100 hingga RM2,500 secara sekali gus.
“Nilai keseluruhan STR Fasa 4 bernilai RM2.1 bilion,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kerajaan meningkatkan STR daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion bagi membolehkan kadar maksimum STR ditingkatkan daripada RM3,100 kepada RM3,700 pada tahun hadapan.
“Bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Perdana Menteri berkata ia akan diperluas daripada isi rumah miskin tegar kepada merangkumi golongan miskin.
“Kadar SARA ditingkatkan daripada RM600 kepada RM1,200 dengan bilangan penerima manfaat meningkat daripada 200,000 penerima kepada sekitar 700,000 penerima.
“Mekanisme SARA akan diguna sebagai pendekatan baharu pemberian semula subsidi secara bersasar.
“Dengan pemberian SARA secara bulanan, ini dapat memastikan golongan miskin mendapat bekalan barangan makanan asas yang mencukupi,” katanya.
BAHASA MELAYU
Sementara itu, beliau menjelaskan arahan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kepada kerajaan tidak melibatkan syarikat antarabangsa.
Katanya, arahan itu cuma terpakai kepada jabatan kerajaan dan syarikat tempatan.
“Saya arah semua jabatan kerajaan dan syarikat tempatan tidak boleh menulis (surat rasmi untuk urusan kerajaan) dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain. Tulis dalam bahasa Melayu.
“Tetapi kalau syarikat antarabangsa itu dikecualikan. Ada berlaku salah faham kerana syarikat antarabangsa boleh (utus surat rasmi kepada kerajaan selain bahasa Melayu),” katanya.
Pada 25 Oktober lalu, Perdana Menteri mengarahkan sebarang surat rasmi oleh mana-mana pihak sama ada dari kerajaan atau swasta, diutuskan dalam bahasa Melayu.
Katanya, arahan itu sebagai langkah untuk memartabat penggunaan bahasa Melayu merangkumi jabatan, penjawat awam, universiti dan sektor swasta.
Beliau meminta ia dipulangkan semula jika surat itu diutuskan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan.-UTUSAN.