PETALING JAYA: Jurulatih beregu profesional negara, Rosman Razak menggesa anak didiknya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Shevon Lai-Goh Soon Huat untuk tidak patah semangat memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun digugurkan daripada program Road to Gold (RTG).
Jawatankuasa RTG yang bersidang Isnin lalu telah menggugurkan dua beregu campuran ini telah bersama-sama skuad hoki lelaki negara daripada program sukan elit itu setelah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan antarabangsa, selain terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia.
Bagi Rosman, dia dan barisan anak buahnya itu akur dengan keputusan Jawatankuasa RTG, namun itu tidak bermakna mereka akan melupakan impian beraksi di Sukan Olimpik kerana hakikatnya dari segi faktor umur, Paris mungkin pentas sulung dan terakhir buat kedua-dua pasangan beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Saya rasa mereka menerima keputusan itu dan seperti saya katakan setiap keputusan ada kesannya, dan inilah kesannya hasil daripada keputusan yang kurang baik dicatatkan oleh kami.
“Kami menghormati keputusan tersebut dan menerimanya, tetapi saya mahu tegaskan yang kami menerimanya bukan bermakna kami mengalah, tetapi kami mahu membuktikan kami layak untuk berada semula dalam program itu,” jelas Rosman.
Ia bakal menjadi cabaran yang sukar untuk mereka kerana berdasarkan ranking kelayakan ke Paris 2024, Shevon-Soon Huat berada di tangga ke 17, manakala Kian Meng-Pei Jing berada di tangga ke 25.
Untuk Malaysia mempunyai dua wakil di Paris 2024, mereka harus berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan Sukan Olimpik. Selain itu, mereka juga perlu mengatasi kedudukan satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini selesa di tangga kesembilan.
“Saya rasa setiap keputusan itu akan akan kesan, baik dari segi dalaman ataupun luaran. Saya tidak mahu fikir pasal RTG atau apa, kerana sasaran kita tetap sama, layak ke Sukan Olimpik. Dalam keadaan sekarang, situasi semakin sukar untuk kami, tetapi kami tidak mahu mengaku kalah.
“Kalau kita tengok undian untuk dua kejohanan ini (Masters Korea Selatan dan Masters Jepun) tidak begitu memihak kepada kami, tetapi bagi saya inilah ketentuannya, kami terima dengan hati lapang dan akan berusaha memberikan terbaik,” tambah Rosman. – UTUSAN