KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta Kedutaan Besar Sepanyol mencipta sejarah apabila menganjurkan pameran fotografi berkenaan peninggalan seni bina Islam di Sepanyol.
Pameran yang diberi nama The Al Hambra: Paradise On Earth itu akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini sehingga 11 Disember depan bertempat di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, pameran yang terbuka dan percuma kepada orang awam itu adalah bagi mengetengahkan seni bina Islam yang masih lagi terdapat di negara Eropah itu termasuk istana-istana lama di sana.
“Ini merupakan satu usaha membawa masyarakat Malaysia khususnya di Negeri Sembilan untuk membuat satu perbandingan di antara seni bina istana lama yang terdapat di negara Eropah yang mempunyai ciri-ciri Islam dengan istana-istana lama yang terdapat di Negeri Sembilan ini khususnya.
“Sempena pameran ini, pengunjung boleh melihat lebih 30 gambar berkenaan seni bina istana lama Sepanyol dan pada masa yang sama dapat melihat lebih dekat seni bina istana lama Seri Menanti sendiri yang juga mempunyai ukiran unik serta berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pameran The Al Hambra: Paradise On Earth, di sini, hari ini.
Pemaran tersebut telah dirasmikan oleh anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.
Yang hadir sama, Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, Jose Luis Pardo Cuervo.
Sementara itu, Tunku Zain Al-Abidin dalam ucapan berkata, pameran berkenaan adalah mengenai legasi Andalusia yang telah bermula pada abad ketujuh.
Menurutnya, Al Hambra atau juga dikenali Istana Merah mempunyai banyak sejarah dan merupakan sebuah istana dan masjid semasa kerajaan Andalusia.
“Bagi saya kedua-dua istana (Istana Merah dan Istana Lama Seri Menanti) mempunyai sejarah yang amat penting. Sempena dengan pameran ini juga kedutaan Sepanyol akan menayangkan filem yang bertajuk The Builders of Al Hambra.
“Dengan membawa pameran ini ke Istana Lama Seri Menanti, ia dapat memberikan rasa dan keterujaan kepada pelawat tentang keindahan Al Hambra atau Istana Merah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 5,000 orang akan mengunjungi Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti sepanjang tempoh pameran tersebut.-UTUSAN.