KUALA LUMPUR: “Kita akan bincangkan beberapa perkembangan dan kita akan jalankan tanggungjawab sebaik mungkin”.
Demikian respon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditanya sama ada beliau akan menggunakan pentas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 untuk menyuarakan isu Palestin-Israel.
Anwar sebelum ini dilaporkan memutuskan untuk menghadiri APEC 2023 yang akan diadakan di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS).
Alasan keputusan tersebut untuk menjaga hubungan diplomatik dan keamanan, namun Perdana Menteri menegaskan pendirian negara tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan menyokong Palestin.
APEC 2023 dijadual berlangsung pada 11 hingga 17 November ini, dan akan dihadiri semua negara Asia dan negara-negara APEC atas jemputan Presiden AS, Joe Biden.
Terdahulu, Anwar merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) yang dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Dalam majlis sama, Anwar turut melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) yang dibangunkan oleh MPOB bagi membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan menjimatkan kos.
SIMS diwujudkan untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit, selain menggalakkan kawal selia kendiri, meminimumkan pengawasan kerajaan dengan ciri-ciri yang mesra pengguna. – UTUSAN