Pahang peruntuk RM30.65 juta bina Pusat Pemindahan Tetap mangsa banjir - Utusan Malaysia

Pahang peruntuk RM30.65 juta bina Pusat Pemindahan Tetap mangsa banjir

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menggunting riben sebagai gimik perasmian Pusat Pemindahan Tetap (PPT) yang pertama di Malaysia untuk mangsa banjir di Kampung Luit di Maran, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM30.65 juta bagi membina Pusat Pemindahan Tetap (PPT) mangsa banjir di lima daerah di negeri ini dengan Kampung Luit di sini lokasi pertama siap dibina sekali gus yang pertama seumpamanya di negara ini.

Selain Maran, empat lagi daerah yang akan dibina PPT adalah Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pusat pemindahan itu inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan risiko bencana banjir yang berlaku setiap tahun.

“PPT Kampung Luit di Maran merupakan PPT pertama seumpamanya di Malaysia dengan kos RM650,300 dilengkapi pelbagai kemudahan asas ketika bencana banjir antaranya bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan membersihkan diri.

“PPT ini mampu menampung 24 keluarga mangsa banjir pada satu-satu masa sekali gus memberi keselesaan dan keselamatan terbaik kepada mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian PPT Pertama di Malaysia di Kampung Luit di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, empat lagi PPT masih dalam proses pentadbiran dan pembinaan dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

Menurutnya, dana bagi membina PPT itu adalah peruntukan khas kerajaan negeri yang komited mengubah status quo mangsa banjir yang sebelum ini terpaksa tinggal di masjid dan lain-lain pusat pemindahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang berkemungkinan berlaku ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah pun melanda Pahang.

Katanya, semua bantuan dan bekalan sudah pun di hantar ke 159 pangkalan hadapan manakala 856 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau sudah pun bersedia untuk menerima mangsa banjir.

Malah jelasnya, kerajaan negeri juga sudah menambahbaik kualiti pembungkusan makanan segera kepada mangsa-mangsa banjir agar dapat dimasak dan dimakan dengan mudah pada peringkat awal perpindahan ke PPS atau PPT apabila dilanda musibah banjir.

“Bukan sahaja pemindahan tetap, malah daripada segi makanan pun kita sudah ubah, makna apabila mereka sampai ke sini kita bagi satu pek makanan yang siap dalam dua ke tiga minit yang agak lazat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya