Padah pukul isteri, suami dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Padah pukul isteri, suami dipenjara dua tahun

ISMAIL Ibrahim (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas kesalahan memukul isterinya dalam kejadian di pekan Gemencheh, Tampin, pada hari Selasa lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang suami dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas dia mengaku bersalah memukul isterinya pada hari Selasa lalu.

Tertuduh, Ismail Ibrahim, 46, yang merupakan seorang peneroka Felda membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, pada 7 November lalu kira-kira pukul 9.10 malam di kaki lima sebuah restoran makanan segera di pekan Gemencheh, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 47 tahun.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama seksyen 326A kanun yang sama.

Mengikut fakta kes, pada masa, lokasi dan tarikh yang sama, semasa isteri tertuduh yang merupakan seorang guru sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung di Terengganu, telah didatangi tertuduh dan berlaku pertengkaran.

Semasa bertengkar, tertuduh telah mencekik leher isterinya, menghantuk kepala isterinya itu beberapa kali ke dinding dan menumbuk pada bahagian mata kanan isterinya.

Kejadian turut disaksikan saksi awam, pekerja makanan segera dan juga isteri terbaharu tertuduh yang turut merakam kejadian tersebut.

Hasil pemeriksaan awal doktor di Klinik Kesihatan Gemencheh mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan turut menerima dua jahitan pada bahagian dahi kanan.

Saiful ketika menjatuhkan hukuman tersebut menegaskan, perbuatan tertuduh mencederakan isterinya itu sesuatu yang amat keterlaluan dan tidak sewajarnya berlaku malah tertuduh juga pernah dihukum atas kesalahan yang sama sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN