GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Kelantan membantah tindakan Kerajaan Kelantan yang mahu melaksanakan cadangan perubahan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) melibatkan lokasi seluas 514,898 hektar di sini.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan mereka akan menerima padah dalam jangka masa panjang.
“Paling membimbangkan pihak kami adalah hutan yang menjadi habitat hidupan liar akan menjadi semakin kecil.
“Situasi itu boleh menyebabkan kami berdepan konflik antara manusia dan hidupan liar sebagaimana yang telah berlaku di Kampung Sau, Pos Bihai dan Pos Pasik apabila ada Orang Asli dibaham harimau,” katanya kepada pemberita di sini di sini hari ini.
Mustafa memberitahu, susulan itu JKOAK bersama wakil Orang Asli telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam di pusat Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Ber, Nasir Dollah, 36, memberitahu, sekiranya pelan KSAS diubah penempatan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing akan terancam dengan aktiviti penerokaan hutan untuk tujuan komersial.
Katanya, penerokaan tanah berskala besar ketika ini telah memberi kesan kepada kelangsungan hidup Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Kami percaya apabila berlakunya penerokaan hutan secara tidak terkawal akan memberi kesan termasuklah masalah bencana seperti tanah runtuh, hakisan tanah, pencemaran sungai dan ancaman kepada hidupan liar pada masa akan datang.
“Kami bukan sahaja akan kehilangan hak tanah adat tetapi juga masalah sosial dan ancaman kepada budaya cara hidup Orang Asli. Jadi saya harap kepada pihak kerajaan Kelantan supaya mereka tidak melaksanakan tindakan yang boleh menjejaskan kehidupan Orang Asli,” ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Oktober 2020 memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.
Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.-UTUSAN