SEREMBAN: Tempoh masa selama 18 bulan diperlukan bagi kerja projek menaik taraf Pusat Pengangkutan Terminal 1 di sini untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pihak kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut kini diperingkat menunggu kelulusan pelan dan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Jelas beliau, apabila kelulusan tersebut diterima, kerja menaik taraf berkenaan boleh dimulakan pada bila-bila masa dan apabila siap kelak, pengguna di Pusat Pengangkutan Terminal 1 akan menikmati kemudahan dan fasiliti lebih selesa dan moden serta setaraf dengan terminal pengangkutan di negeri-negeri lain.
“Ia akan ambil masa selama 18 bulan, apabila siap kelak ia akan setaraf dengan terminal pengangkutan lain, selepas ini akan ada ruang menunggu yang berhawa dingin selain pelaksanaan sistem jualan tiket berpusat (CTS), itu antara syarat yang ditetapkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi pengoperasian terminal bas termasuk di Terminal 1, Seremban ini.
“Dalam tempoh ini akan ada beberapa kelemahan khususnya dalam pelaksanaan CTS yang telah pun dimulakan, jadi saya minta pengguna dapat berikan sedikit ruang dan masa untuk pembangunan projek dilaksanakan dan apabila ia siap kelak di sini akan dilengkapi dengan banyak kemudahan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Pusat Pengangkutan Terminal 1, Seremban, Mohd. Hafiz Talib berkata, kemudahan ruang menunggu bas berhawa dingin dan kaunter CTS yang lebih banyak merupakan antara perkara diberikan keutamaan untuk disiapkan terlebih dahulu dalam projek naik taraf tersebut.
“Selain itu, antara kerja-kerja utama adalah melibatkan tempat letak kereta, surau, serta platform bas.
“Selain itu kami juga merancang untuk menarik kehadiran pengendali-pengendali restoran termasuk makanan segera dan kafe, ia sebagai tarikan kepada orang ramai.
“Ia supaya nanti di sini bukan hanya menjadi tempat menunggu bas tetapi sebagai lokasi kehadiran orang ramai termasuk bersama keluarga,” katanya yang turut memberitahu tema warna bendera Negeri Sembilan akan diguna pakai sebagai ciri utama pembangunan projek naik taraf itu.-UTUSAN.