N. Sembilan tambah syarat keluar lesen, kekang warga asing jalankan perniagaan - Utusan Malaysia

N. Sembilan tambah syarat keluar lesen, kekang warga asing jalankan perniagaan

J. ARUL Kumar menunjukkan kenyataan media berkaitan syarat tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mengekang aktiviti salah guna lesen dan aktiviti perniagaan dijalankan oleh warganegara asing pada sidang akhbar di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah tegas dengan mengenakan beberapa syarat tambahan selepas ini dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan tersebut antaranya bagi mengekang aktiviti ‘ali baba’ ataupun salah guna lesen perniagaan yang dikeluarkan kepada rakyat tempatan namun disewakan pula lesen tersebut kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor peruncitan.

Syarat-syarat tambahan kepada pengeluaran lesen tersebut antaranya adalah setiap pemohon lesen perlu mendaftar dan mendapatkan nombor fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBT bagi membolehkan permohonan tersebut diproses.

Seterusnya, setiap premis perniagaan hanya akan diluluskan satu jenis perniagaan sahaja dan perniagaan yang berkaitan serta pemilik lesen perniagaan atau wakil warga tempatan perlu berada di premis pada setiap masa operasi perniagaan selain warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk bertugas sebagai juruwang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, perkara tersebut telah pun diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dua minggu lalu.

“Apabila kita bekerjasama dengan LHDN dan letakkan ia sebagai syarat, mereka (pemegang lesen) perlu mengisytiharkan pendapatan mereka, mereka tahu apa kesannya jika dikenakan tindakan di bawah LHDN, tindakan itu sangat berat oleh itu ia diharapkan boleh memberikan amaran untuk mereka tidak menyewakan lesen perniagaan mereka.

“Pada masa yang sama, Jika mereka memaklumkan bahawa mereka tidak menjalankan perniagaan tersebut dan operasinya dijalankan oleh pihak ketiga, tindakan akan diambil serta merta kerana telah melanggar syarat am iaitu memberikan lesen kepada orang lain seterusnya lesen itu boleh dibatalkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa syarat juga dikenakan bagi mengehadkan kehadiran pekerja-pekerja asing bagi jenis-jenis perniagaan yang telah dikenal pasti.

“Semua pekerja asing yang telah diluluskan permit bekerja dalam sektor peruncitan dan perdagangan di sekitar Negeri Sembilan hanya dibenarkan bekerja di premis perniagaan tersebut sahaja.

“Pekerja asing yang telah diluluskan permit bekerja dengan majikan berkenaan sahaja dibenarkan bekerja di premis tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, Arul Kumar menegaskan, jika sebelum pemilik perniagaan hanya mempamerkan lesen perniagaan mereka sahaja namun selepas ini mereka yang mempunyai pekerja warga asing perlu mempamerkan pula maklumat berkaitan pekerja asing mereka itu.

“Di setiap kedai mereka perlu mempamerkan maklumat pekerja asing mereka merangkumi nama, nombor pasport, status warganegara, jantina dan juga tempoh permit pekerjaan. Ini adalah untuk memudahkan pada setiap kali operasi dilakukan oleh pihak penguatkuasa berkaitan.

“Selain itu, peniaga juga perlu mempamerkan nombor cukai pendapatan atau sijil pematuhan cukai syarikat di tempat yang mudah dilihat di premis tersebut,” katanya.

Tegas beliau lagi, jika berlaku pelanggaran syarat-syarat berkenaan, lesen perniagaan boleh dibatalkan tanpa sebarang notis dan boleh dibuat serta-merta walaupun sebelum tamat tempoh dan rayuan juga tidak dibenarkan dan disenarai hitam dalam tempoh setahun.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya