MyCare sumbang RM1 juta kepada Palestin, sasar tingkat kutipan - Utusan Malaysia

MyCare sumbang RM1 juta kepada Palestin, sasar tingkat kutipan

SUHAIZAN KAYAT (tengah) memegang sepanduk dan berarak bersama-sama penduduk dalam Himpunan Aman Solidariti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai Prihatin Palestin di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada penduduk Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza yang menderita akibat konflik dengan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, RM500,000 telah disumbangkan selepas beberapa hari peperangan tercetus yang disampaikan oleh Pengurus MyCare Palestin, Dr. Ziad Shehada.

Menurutnya, sumbangan sebanyak RM500,000 lagi disampaikan dengan kerjasama Wisma Putra untuk menerusi bekalan makanan dan perubatan.

“Selain itu, MyCare Johor juga menyasarkan sebanyak RM350,000 untuk tabung Palestin dan hingga kini telah mengutip RM280,000.

“Sumbangan seperti ini akan diteruskan ekoran keadaan terkini di Gaza yang mengalami kehancuran teruk akibat serangan rejim Zionis. Kita sasarkan jumlah besar dengan tahun lalu sumbangan RM30 juta,” katanya semasa  menghadiri Perhimpunan Solidariti untuk Palestin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Program tersebut dihadiri kira-kira 1,000 penghuni PPR itu yang berarak membawa sepanduk dan bendera Palestin bagi menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.

Sementara itu, Suhaizan menyifatkan usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut bersama-sama persatuan penduduk itu merupakan contoh terbaik dalam menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Perarakan Solidariti Palestin adalah usaha menanam kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda serta bagi menyuarakan bantahan dunia terhadap kekejaman Israel.

“Kezaliman ini bukan hanya melibatkan mangsa yang beragama Islam, sebaliknya rakyat Palestin yang beragama Kristian turut menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya