SEREMBAN: Kemahirannya dalam menghasilkan pelbagai jambangan bunga yang cantik dan menarik membolehkan seorang suri rumah dapat menjana pendapatan lumayan terutamanya apabila tiba musim hari penyampaian sijil yang dianjurkan pihak sekolah.
Berkongsikan kisah, Norriah Mohamed Shahrifuddin, 43, berkata, dengan hasil daripada hanya menjual jambangan bunga itu sahaja, dia dapat membina sebuah rumah sendiri di atas tanah kampung miliknya di Perak pada tahun lepas.
“Saya mula menceburi bidang ini hasil saranan seorang rakan, dia melihat saya sangat kreatif dan berseni, Alhamdulillah kini sudah hampir lapan tahun saya berniaga jambangan bunga di majlis-majlis penyampaian sijil pelajar-pelajar,” katanya ketika ditemui di Kota Seriemas, Nilai di sini.
Dia menambah, penganjuran majlis penyampaian sijil yang dianjurkan pihak prasekolah dan sekolah-sekolah rendah pada setiap tahun memang menjadi ‘lubuk’ untuknya meraih pendapatan berganda.
“Jika bulan lain, saya berniaga cenderahati di karnival-karnival sekolah. Apabila dapat peluang berniaga ketika musim ‘graduasi’ ini, saya tidak akan saya sia-siakan untuk menawarkan dekorasi jambangan bunga yang menarik untuk dibeli oleh orang ramai,” katanya.
Norriah yang merupakan ibu kepada lima orang anak itu menambah, walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran daripada segi masa dan kepenatan, namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya.
“Orang luar nampak jadi penjual bunga ini mudah sahaja, tapi sebenarnya adalah tidak. Ada ketikanya saya hanya tidur tiga jam sahaja bagi menyiapkan jambangan bunga ini, namun hasilnya memang berbaloi,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui bidang tersebut mempunyai persaingan namun ia juga tidak dilihat sebagai halangan
“Bagi saya, biarlah persaingan itu sihat dan kita boleh sama-sama raih pendapatan dalam bidang ini,” jelasnya lagi.-UTUSAN.