Mohd. Aminuddin sebak terima tangan palsu dari menteri

Mohd. Aminuddin sebak terima tangan palsu dari menteri

SIVAKUMAR (kanan) sempat berbual mesra dengan Mohamad Aminuddin pada program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas pemandu bas henti-henti sebak selepas menerima tangan palsu setelah hampir tujuh bulan menjalani kehidupan tanpa tangan kanan yang putus akibat kemalangan semasa bertugas pada 15 April lalu.

Lebih bermakna lagi, Mohamad Aminuddin Azhar, 27 menerima sumbangan tangan palsu daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar di sini hari ini.

Mohd. Aminuddin berkata, dia sememangnya mempunyai hasrat untuk memiliki tangan palsu namun belum lagi membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan kemudahan itu.

“Saya memang mahukan tangan palsu terutamanya untuk dipakai ke majlis-majlis, program atau kenduri kerana tidak mahu kekurangan diri saya menjadi perhatian orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan disini hari ini.

Mengimbas semula kejadian itu, Mohamad Aminuddin memberitahu dia sebenarnya diserang demam secara tiba-tiba.

Katanya, semasa melapor diri untuk bertugas pada hari kejadian keadaan dirinya masih sihat namun mula demam menjelang waktu tengah hari.

“Sebenarnya saya tidak begitu ingat kejadian itu. Cuma ketika itu saya sedang membawa lima hingga enam penumpang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Jerteh,” ujarnya.

Anak kedua dari tiga beradik yang berasal dari Kampung Kota itu berkata, dia masih lagi bercuti kerana perlu menjalani rawatan fisioterapi ke atas tangan kanannya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Selepas ini mungkin saya akan ditempatkan di ibu pejabat Konsortium E-Mutiara di Panji dan hanya melakukan kerja-kerja pejabat. 

“Saya memang menulis menggunakan tangan kiri (kidal) tetapi membuat lain-lain kerja dengan tangan kanan,” ujarnya.

Utusan Malaysia 15 April lalu melaporkan seorang pemuda putus tangan kanan selepas bas yang dipandunya merempuh sebuah lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Kampung Seri Aman, di sini, petang tadi.

Kejadian pukul 4.20 petang itu turut mengakibatkan dua penumpang bas henti-henti dipandu Mohamad Amiruddin dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala Kuala Terengganu itu mengalami kecederaan ringan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya