TAMPIN: Usaha Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) menyalurkan sumbangan kepada 72 buah Pusat Khidmat Ahli Parlimen yang mempunyai kepadatan penduduk India tertinggi di negara ini merupakan langkah tersusun bagi membantu komuniti tersebut.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, langkah itu juga sekali gus dilihat mampu ‘merakyatkan’ Mitra yang kini diterajui oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan dalam menjamin harapan masyarakat India di negara ini.
Menurutnya, sejak Ramanan dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Mitra, agensi itu kini dilihat lebih menyerlah menerusi pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada komuniti kaum berkenaan.
“Mitra kini nampak lebih tersusun. Imej agensi itu juga semakin diyakini dalam kalangan masyarakat India dan juga kaum-kaum lain di negara ini.
“Pendekatan Mitra juga lebih inklusif dalam membawa suara masyarakat India. Program pemerkasaannya juga cukup menarik yang dapat membantu golongan B40,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bantuan Depavali Parlimen Tampin, di sini, baru-baru ini.
Parlimen Tampin merupakan salah satu kawasan Parlimen yang menerima peruntukan tersebut iaitu sebanyak RM100,000.
Bantuan peruntukan itu diagihkan kepada 11 buah kuil Hindu, tujuh buah sekolah dan lebih daripada 300 orang menerima bantuan khas sempena perayaan Deepavali.
Sebagai rekod, dana sebanyak RM7.2 juta diperuntukan untuk tujuan tersebut iaitu menerusi pelbagai program membabitkan tiga skop utama, iaitu pembangunan modal insan, pembangunan keusahawanan dan kerjaya, serta pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian, dan kesejahteraan. –UTUSAN.