'Miscommunication' antara punca JB sesak hingga 3 jam - Fazli - Utusan Malaysia

‘Miscommunication’ antara punca JB sesak hingga 3 jam – Fazli

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kesesakan  yang berlaku di beberapa jalan di sekitar bandar raya Johor Bahru baru-baru ini turut berpunca akibat berlakunya ‘miscommunication’ antara beberapa pihak terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ini kerana sebanyak 142 kerja membaiki jalan dilaksanakan secara serentak yang terpaksa dilakukan bagi mengejar tempoh pelaksanaan tahun ini selain memastikannya diselesaikan sebelum berlangsungnya Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023.

“Kita maklum kesesakan teruk yang berlaku di sekitar bandar raya ini dan telah kenal pasti 11 laluan yang menjadi lokasi kerap kesesakan. Beberapa kaedah penyelesaian juga telah dicadangkan termasuk pelebaran jalan, meletakkan anggota trafik serta penambahbaikan papan tanda.

“Selain itu, kesesakan turut disebabkan berlaku ‘miscommunication’ apabila agensi berbeza melakukan kerja penambahbaikan di laluan utama dan laluan alternatif serentak. Jadi, koordinasi antara agensi juga akan ditambah baik,” katanya ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamad Fazli memberitahu, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandar raya ini.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat beberapa kali, hasil mesyuarat kelak akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memilih kaedah penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu ini.

“Antara aspek lain termasuk mengkaji prosedur operasi standard  (SOP) apabila berlaku kemalangan maut di jalan raya, iaitu berdasarkan SOP sedia ada mayat dan kenderaan tidak boleh dialihkan sehingga pihak polis tiba, itu juga akan dikaji,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut maklum aduan awam tentang mengapa pihak berkuasa tidak melakukan kerja penyelenggaraan jalan pada waktu malam dan bukan waktu puncak disebabkan beberapa faktor termasuk kurangnya penguatkuasaan pihak berwajib.

“Memang kebanyakan kerja penyelenggaraan kita minta laksana di luar waktu puncak, tetapi ada antara kerja-kerja itu terpaksa dilanjutkan sehingga waktu pagi ketika orang ramai keluar bekerja.

“Selain itu, kaedah penyelenggaraan jalan yang diguna turut memainkan peranan apabila bancuhan simen memerlukan tempoh berbeza antara 12 jam hingga 72 jam, menyebabkan kerja itu melangkaui waktu puncak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya