MBS pantau kediaman diubah suai cetus kebimbangan jiran - Utusan Malaysia

MBS pantau kediaman diubah suai cetus kebimbangan jiran

SEBUAH rumah di Taman Surian, Mantin, Seremban yang sebelum ini diubah suai oleh pemiliknya tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan namun kini dalam keadaan terbiar sehingga mendatangkan kebimbangan jiran bersebelahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan sentiasa memantau sebuah rumah di Taman Surian, Mantin di sini yang sebelum ini didapati melakukan pengubahsuaian kediaman tanpa kelulusan daripada tidak meneruskan kerja-kerja pembinaan berkenaan.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, sebelum ini pihaknya telah mengeluarkan notis arahan dan sitaan di tapak binaan sebanyak tiga kali kepada pemilik premis bagi memberhentikan kerja-kerja binaan dan merobohkan binaan tambahan tersebut.

MBS juga jelasnya, telah menjalankan pendakwaan terhadap pemilik premis di bawah Peruntukan Seksyen 70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Mahkamah Majistret di Seremban telah mendapati pemilik premis bersalah dan mengenakan hukuman denda dan penjara sekiranya jumlah denda tidak dijelaskan. 

“Berikutan sabitan bersalah tersebut, pemilik premis tidak dibenarkan melaksanakan sebarang kerja-kerja pembinaan di premis tersebut sehinggalah mendapat kelulusan daripada MBS.

“Sehingga kini, MBS masih belum menerima sebarang permohonan kelulusan pelan daripada pemilik dan Majlis sentiasa memantau premis tersebut bagi memastikan kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tahun lalu, tular di media sosial dakwaan seorang penduduk berhubung pembinaan rumah tanpa kelulusan di sebelah rumahnya di Taman Surian, Mantin di sini yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa penghuni lain di taman perumahan berkenaan.

KEADAAN rumah yang terbiar termasuk siling yang runtuh boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada penghuni rumah bersebelahan.

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pengguna TikTok, @halimsan06 mendakwa keadaan premis kediaman tersebut yang terbiar dengan beberapa bahagian di dalam rumah yang rosak boleh mendatangkan risiko kepada keluarga dan dirinya yang tinggal bersebelahan.

Individu terbabit, Abdul Halim Hassan@Talib, 38, ketika dihubungi memberitahu, pihak MBS perlu mengambil tindakan tegas termasuk untuk merobohkan struktur berkenaan, kerana keadaan tersebut tidak boleh terus dibiarkan.

“Kes ini sudah lama, sejak tahun lepas, yang menerima kesannya ialah saya dan keluarga, dinding rumah saya sudah retak, rosak dan berkulat. Jika saya mahu jual rumah saya ini pula sudah tentu rugi kerana nilainya juga sudah jatuh,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya